Pas bincang semula isu bubar DUN

BACHOK 2 Okt. – Pas akan mengadakan perbincangan semula berhubung pendirian parti itu mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang ditadbir mereka, kata Naib Presidennya,  Idris Ahmad.

“Kalau setakat pendirian sebelum ini kita tidak akan bubar (DUN), tapi mungkin akan ada perubahan nanti, namun parti yang akan putuskan nanti,” katanya selepas merasmikan Ijtimak Pondok Se-Malaysia, di sini, lewat malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan terbaru Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan Pas yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.

“Keputusan itu atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pas juga mengambil perhatian resolusi Ijtimak Pondok Se-Malaysia antara lain yang memohon kesemua calon Pas pada PRU akan datang terdiri daripada individu yang tidak menyebarkan fahaman dan ajaran wahabi.

Related posts

Leave a Comment