Peluang Pas, UMNO menangi 20 kerusi PH

SEPANG 1 Okt. – Pas dan UMNO berupaya merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun ini sekiranya kedua-dua parti bermuafakat dan berunding.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata, enam kerusi itu adalah di Kedah, empat masing-masing di Pahang dan Selangor, tiga di Perak dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.

“Dari sudut politik pilihan raya, sekurang-kurang berundinglah pada 20 kerusi yang dimenangi oleh PH sekarang yang dengan undi bersama Pas dan UMNO boleh memenangkan Pas atau UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, enam kerusi di Kedah membabitkan Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Padang Serai.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, itu berkata empat kerusi di Pahang adalah Raub, Temerloh, Bentong dan Kuantan, manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat di Selangor.

Pemuafakatan UMNO dan Pas juga mampu menawan kerusi Parlimen Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim di Perak selain Tampin di Negeri Sembilan; Tangga Batu di Melaka dan Kangar di Perlis.

Dr Mohd Khairuddin juga menyambut baik usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) apabila Pas ‘menghulurkan tali’ untuk mengeratkan kembali persahabatan dengan UMNO menerusi kunjungan hormat Presiden Pas, Abdul Hadi Awang PAS, ke atas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata UMNO juga telah menyambut usaha terbaru ini dengan sehangatnya, malah ahli kedua-dua parti diarahkan untuk gencatan senjata.

“Setiausaha Agung Pas (Takiyuddin Hassan) juga mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan siapa pun mengeluarkan kenyataan melainkan dengan izin Presiden demi menjaga hubungan baharu ini agar tidak tercalar lagi.

“Perpaduan ini mesti diusahakan malah wajib diusahakan demi kepentingan Islam Melayu di tanah air tercinta ini. Cukuplah 44 tahun ahli keluarga sendiri terpisah akibat perbezaan fahaman politik sejak 1978 khususnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Sampai masanya generasi baharu kedua parti Islam Melayu ini bersaing menawarkan dasar pentadbiran dan manifesto siapa yang terbaik di arena politik pilihan raya secara sihat, damai, matang dan sejahtera tanpa serang-menyerang peribadi, gelar-menggelar yang buruk dan tuduh-menuduh yang mencarikkan persaudaraan.

“Inilah yang diajar dan dan dididik oleh Islam. Tinggalkan politik mengungkit cerita lama yang mencarikkan persahabatan yang sudah lapuk di telan zaman,” katanya.

Related posts

Leave a Comment