Kes jangkitan baharu turun di Indonesia

JAKARTA 1 Okt. – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, turun sedikit kepada 1,639 berbanding 1,857 yang dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 6,433,263 sejak kes pertama 2 Mac 2020.

Daerah Jakarta terus merekodkan kes tertinggi iaitu 603, turun berbanding semalam sebanyak 734 kes diikuti Jawa Barat 313 (342), dan Jawa Timur 153 (206).

Sebanyak 1,526 kes sembuh direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 6,257,444 orang manakala 10 orang dilaporkan meninggal dunia yang membawa kepada jumlah keseluruhan 158,122 kematian.

Pemerintah juga melaporkan, terdapat 17,697 kes aktif iaitu peningkatan sebanyak 103 kes berbanding pada hari sebelumnya.

Sementara itu, Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia meluluskan vaksin Covid-19 pertama yang dihasilkan secara domestik, untuk kegunaan kecemasan membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas.

Vaksin Indovac itu dibangunkan firma farmaseutikal dimiliki negara, Bio Farma dan Kolej Perubatan Baylor di Houston, Texas di Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan Ketua BPOM, Penny Lukito, Indonesia, kelulusan itu diberikan sebagai vaksin untuk golongan dewasa.

Menurut Ketua Bio Farma, Honesti Basyir, berkata vaksin berkenaan berperanan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap vaksin import kerana 80 peratus vaskin Indovac adalah sumber tempatan.

Indonesia adalah antara negara yang merekodkan kadar penularan tertinggi dunia dan Republik itu menggunakan vaksin dihasilkan firma China iaitu Sinovac Biotech dan BioNTech termasuk Moderna.

Bio Farma menegaskan pihaknya juga akan mendapatkan kelulusan bagi kegunaan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Related posts

Leave a Comment