Trend penurunan penularan Covid-19

PUTRAJAYA 19 Sept. – Indikator berkaitan penularan Covid-19 di negara ini, terus menunjukkan penurunan berdasarkan rekod sepanjang tempoh Minggu Epidemiologi 37/2022 dari 11 September hingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit ke hospital dalam tempoh itu bagi Kategori Satu dan Dua turun sebanyak 6.7 peratus, manakala tiada perubahan dilaporkan bagi Kategori Tiga hingga Lima.

Bagi pengisian katil, untuk bukan kritikal ia menurun satu peratus, manakala masing-masing penurunan dua peratus dicatatkan untuk katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) tiada perubahan, kekal pada 1.8 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan penurunan.

Katanya, jumlah kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 9.4 peratus, kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 3.8 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak tujuh peratus.

Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 37/2022 ia turun 1.86 peratus berbanding pada akhir ME 36/2022 (dari 31,552 kes kepada 30,965 kes).

Bagi jumlah kes sepanjang ME 37/2022,  kes sembuh turun sebanyak 16 peratus iaitu daripada 17,286 kes kepada 14,513 kes.

Selain itu ialah bilangan kes baharu yang menurun sebanyak 3.2 peratus (14,072 kes kepada 13,627 kes), bilangan kes tempatan menurun sebanyak 3.3 peratus (14,052 kes kepada 13,585 kes).

Beliau berkata peningkatan dapat dilihat sebanyak 110 peratus membabitkan kes import iaitu daripada 20 kes kepada 42 kes serta bilangan kes kematian menurun 8.8 peratus (34 kes kepada 31 kes).

Purata kes aktif setiap hari bagi ME 37/2022 adalah 26,378 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil survilen Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 120 sampel dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 16 peratus.

Selain itu sebanyak 4.6 peratus sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment