Tolak kerjasama Pas keputusan parti

SEREMBAN 14 Sept. – Ketetapan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah keputusan yang dibuat oleh parti itu dan bukannya individu, kata Timbalan Presiden, Mohamad Hasan.

Beliau berkata pendirian berkenaan adalah keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini dan tiada perubahan setakat ini.

“UMNO adalah parti, jadi parti yang buat keputusan. Apa sahaja pandangan saya tak penting, pandangan parti penting. Jadi, apa juga yang hendak diputuskan perlu diputuskan oleh parti kerana bukan satu dua orang yang membuat keputusan.

“Parti diputuskan dalam satu mesyuarat dan badan tertinggi adalah Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Maka, kalau ada agenda dalam mesyuarat MKT bulanan, kita akan bincang, baik, buruk atau kelebihan, kita akan menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Merdeka@KomunitiKeluarga Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, di Dataran Senawang, di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah, termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, yang bersidang pada Ahad lalu.

Beberapa penganalisis politik tempatan turut berpandangan bahawa peluang Pas untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15 dilihat sukar kerana parti itu masih terikat dengan komitmennya dalam Perikatan Nasional (PN) yang mengandungi Bersatu .

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, berkata parti (BN) sudah membuat keputusan untuk bertanding secara sendirian pada PRU-15 nanti.

Beliau berkata, fokus beliau ketika ini adalah untuk memastikan tahap kesiapsiagaan jentera parti.

“Dengan siapa nak bekerjasama atau tak bekerjasama, jentera parti mesti dalam keadaan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya.

“Kita tidak boleh bila nak bersama dengan kumpulan itu dan kumpulan ini, kita relaks tak buat apa-apa. Tugas saya untuk menyiapkan jentera parti, dengan siapa

(bersama) pun, itu keputusan parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment