Siasatan profesional kes Rafizi, Dr Latiff

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi sebaliknya ia bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Peranti akan dipulangkan selepas proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, Rafizi dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 September lalu bagi membantu siasatan selepas laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abdul Latiff Ahmad.

Acryl Sani berkata, bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.

Beliau juga menjelaskan, PDRM sedang menyiasat laporan dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya sudah dijalankan.

“Proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa pihak tertentu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

Semalam, Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, dalam kenyataan media meminta PDRM menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu.

Anwar berkata tindakan pihak polis merampas telefon bimbit Rafizi untuk tujuan siasatan dilihat sebagai keterlaluan.

“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun.

Pihak polis harus berlaku adil dalam hal ini termasuk menyiasat Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.

“Amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan, sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa tekanan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Related posts

Leave a Comment