Sah Azalina letak jawatan penasihat

PUTRAJAYA 1 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, menerima peletakan jawatan Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas Kepada  Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Azalina sudah menghantar surat peletakan jawatan itu, pada 29 Ogos lalu.

“Perdana Menteri menerima peletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan supaya dapat menyelesaikan kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September,” menurut kenyataan itu.

Ismail Sabri mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan Azalina sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Semalam, Azalina, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menerusi hantaran ringkas di Facebook miliknya menjelaskan, beliau masih memegang jawatan itu setakat 31 Ogos.

Azalina dilantik ke jawatan berkenaan pada 2 Oktober 2021.

Sebelum itu , tular di media sosial mendakwa Ahli Parlimen Pengerang itu meletak jawatan penasihat khas kepada Perdana Menteri, dipercayai ada kaitan isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Beliau didakwa seperti menyindir Perdana Menteri, berkaitan isu pelantikan Peguam Negara (AG) ketika berucap pada program Taklimat Khas Presiden UMNO, Sabtu lalu.

Pada program itu, Azalina menyampaikan ucapan penuh bersemangat berkaitan pelantikan AG dengan antara petikan mencetuskan kontroversi adalah ‘takkan nak tukar AG pun tak boleh’.

Berikutan itu, beliau menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri, apatah lagi daripada pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan politik.

Antara kandungan ucapan Azalina yang menarik perhatian dan mendapat tafsiran negatif adalah apabila beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak melantik ‘orang dia’ untuk mudahkan segala urusan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, hadirin taklimat khas itu yang dianjur bagi menunjukkan solidariti kepada Najib Razak yang kini dipenjara, menjerit ‘Ismail Sabri perlu tukar AG’.

Related posts

Leave a Comment