Barisan kepemimpinan baharu Warisan

KOTA KINABALU 29 Ogos – Presiden Parti Warisan (Warisan), Mohd Shafie Apdal, hari ini, mengumumkan barisan kepimpinan parti untuk penggal 2021 hingga 2024 setelah Perhimpunan Agung Tahun Warisan 2021 dan pemilihan selesai dilaksanakan semalam.

Mohd Shafie, menerusi kenyataan, berkata beliau yakin barisan kepimpinan itu sudah bersedia dan akan sentiasa turun padang untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Barisan kepimpinan itu menyaksikan Mohd Shafie mempertahankan jawatan Presiden selepas menang tanpa bertanding dan jawatan Timbalan, Presiden, dan tiga Naib Presiden juga menang tanpa bertanding.

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis juga menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wirawati, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menang jawatan Ketua Wanita dan Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan, Ismail Ayub menang jawatan Ketua Wira.

Seramai 20 orang dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) antaranya Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof; ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin; ADUN Tanjong, Kapor Ben Chong Chen Bin; ADUN Darau, Azhar Matussin; ADUN Merotai, Sarifuddin Hata dan ADUN Gum-Gum, Arunarnsin Taib.

Bagi jawatan dilantik menyaksikan Loretto Padua Jr kekal sebagai Setiausaha Agung dan ADUN Petagas,  Awang Ahmad Sah kekal Ketua Penerangan.

Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman, yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Wira kerana memberikan laluan kepada pemimpin muda, tiada dalam senarai kepimpinan.

Kuota bagi jawatan dilantik iaitu dua Naib Presiden, satu Bendahari Agung dan 11 AMT belum diumumkan.

Related posts

Leave a Comment