Kes harian Covid-19 lepasi 3,000

PUTRAJAYA 26 Ogos – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini kembali melepasi 3,000 apabila sehingga tengah malam tadi merekodkan 3,206 kes berbanding 2,722 kes kelmarin dan 2,078 kes hari sebelumnya.

Menurut data laman sesawang COVIDNOW, jumlah kes baharu itu membabitkan 3,202 kes penularan tempatan dengan empat kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan itu menjadikan sehingga kini jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,768,394.

Sehingga kini, Malaysia masih mencatatkan sebanyak 35,988 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 34,626 kes atau 96.2 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 1,271 kes bersamaan 3.5 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (22), unit rawatan rapi (69) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhannya, penggunaan ICU di negara ini sudah mencapai paras 63.4 peratus, bagaimanapun untuk kegunaan pesakit Covid-19 sahaja adalah 18.5 peratus.

Mengenai kes kematian akibat jangkitan berkenaan, semalam terdapat lapan kematian dilaporkan dengan satu kes adalah kematian diluar fasiliti kesihatan (BID).

Ini menjadikan jumlah kematian di negara ini meningkat kepada 36,185 kes dan daripada jumlah itu 7,690 kes adalah kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Sementara itu, bagi kes sembuh di negara ini sebanyak 2,180 kes dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 4,696,221 kes.

Sementara itu, Selangor terus mencatatkan peningkatan kes harian tertinggi apabila merekodkan 1,092 kes berbanding 879 kelmarin.

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 583 (434), Sabah 297 (214), Perak 236 (165), Negeri Sembilan 186 (142), Sarawak 119 (161), Melaka 114 (105), Kedah 110 (103) dan Johor 104 (107)

Tujuh negeri yang merekodkan angka di bawah 100 adalah Pulau Pinang 93 (101), Kelantan 87 (102), Pahang 62 (76), Wilayah Persekutuan Putrajaya 58 (57), Terengganu 44 (61), Perlis 12 (13) dan Wilayah Persekutuan Labuan 9 (3).

Related posts

Leave a Comment