Dos penggalak bagi usia 60 tahun

SINGAPURA 24 Ogos – Kementerian Kesihatan (MoH ) menggalakkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas mendapatkan dos penggalak kedua bagi menghadapi kemungkinan gelombang hujung tahun.

Sebelum ini, dos penggalak kedua disarankan bagi warga emas yang berusia 80 tahun dan ke atas. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata sekitar 80 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos penggalak dan ini membantu mengharungi gelombang varian BA.5 sekarang tanpa perlu mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM), tidak banyak kes serius dan hospital tidak terbeban.

“Justeru, untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang hujung tahun, kita harus memperluaskan perlindungan vaksinasi kita,” katanya.

Menurut MoH, dos penggalak pertama memberikan perlindungan yang baik terhadap jangkitan serius COVID-19 dan daripada dimasukkan ke hospital bagi warga emas berusia antara 60 hingga 79 tahun.

Namun, MOH menjangkakan perlindungan tersebut akan melemah secara beransur-ansur, memandangkan sudah lebih setahun sejak dos penggalak pertama disuntik pada golongan usia tersebut. 

Tambah MOH, bukti terkini menunjukkan bahawa dos penggalak kedua berhasil meningkatkan keberkesanan vaksin terhadap penyakit serius dari 94 peratus kepada 97 peratus bagi warga emas berusia antara 70 hingga 79 tahun. 

Bagi mereka yang berusia antara 60 hingga 69 tahun, keberkesanannya meningkat dari 97 peratus kepada 98 peratus. 

Related posts

Leave a Comment