STPM: 874 dapat PNGK 4.00

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Seramai 874 daripada 42,369 calon mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, daripada jumlah itu seramai 584 calon atau 66.82 peratus adalah golongan B40.

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 ini meningkat sebanyak 133 calon daripada 741 calon pada 2020,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2021 yang berlangsung di sini hari ini.

Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun berkata, dari segi pencapaian keseluruhan calon, PNGK nasional STPM 2021, iaitu 2.79, dianggap sama dengan pencapaian tahun terdahulu iaitu 2.78 pada 2020.

Pencapaian ini dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan peningkatan yang sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata.

“Perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhan berbanding dengan calon STPM 2020,” katanya.

Beliau menjelaskan, pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya juga menunjukkan peratusan longgokan calon pada PNGK 3.75 ke atas adalah 9.04 peratus, PNGK 3.0 ke atas sebanyak 41.72 peratus, PNGK 2.75 ke atas 55.85 peratus, PNGK 2.0 ke atas sebanyak 88.24 peratus – kesemuanya meningkat berbanding 2020.

“Dengan peningkatan ini, saya percaya tiada halangan lepasan STPM akan diterima masuk ke universiti awam,” ujarnya lagi.

Mohd Ekhwan juga memberitahu, buat kali pertama, tiada perbezaan jurang pencapaian antara bandar dengan luar bandar, dengan kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam peperiksaan STPM 2021.

Lebih menggembirakan, Bilangan  calon yang mendapat 5A dalam kesemua lima mata pelajaran yang diambil bertambah kepada 36, berbanding 23 pada tahun sebelumnya.

Mengenai prestasi mengikut mata pelajaran, beliau berkata, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.

Satu mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding prestasi pada tahun sebelumnya, melebihi 3 peratus, iaitu mata pelajaran Bahasa Cina.

Satu lagi mata pelajaran, iaitu Pengurusan Matematik pula, menunjukkan penurunan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment