Muhyiddin jangan cabar kerajaan – Anwar

PUTRAJAYA 6 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Beliau berkata,  berdasarkan maklumat diperolehnya, wujud beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dalam perbelanjaan dana berkenaan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sebelum ini.

Malah beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan terdapat beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga yang turut terlibat.

“Saya nak ingatkan Muhyiddin, jangan cabar (saya). Tetapi) sebaik sahaja kami dicabar, kami perlu melihat (perkara ini).

“Mereka boleh uar-uarkan bersih tidak bersih, (tetapi) tidak bersih sama sekali bila kita sebut tentang kelulusan yang dibuat tidak ikut peraturan, begitu juga kelulusan yang dibuat semasa PKP,“ katanya dalam sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan, hari ini.

Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Perdana Menteri sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan bagaimanapun memaklumkan belum ada perbincangan di peringkat Kabinet sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Terdapat desakan sebelum ini supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion ketika pandemik itu, selain laporan polis dibuat untuk menuntut siasatan diadakan.

Related posts

Leave a Comment