CDC senaraikan anjing boleh dijangkiti

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memasukkan anjing sebagai haiwan peliharaan yang boleh dijangkiti virus cacar monyet berikutan laporan jurnal The Lancet.

Anjing dimasukkan ke dalam garis panduan cacar monyet itu selepas The Lancet melaporkan kes yang disyaki adalah yang pertama melibatkan penularan cacar monyet dari manusia ke anjing di Perancis.

Menurut artikel yang diterbitkan pada 10 Ogos, dua lelaki “bukan teman eksklusif yang tinggal sebumbung” dijangkiti cacar monyet pada awal bulan Jun.

Selepas 12 hari mengalami simptom, anjing mereka yang berusia empat tahun mula menunjukkan gejala seperti ruam dan jerawat bernanah pada bahagian perut haiwan tersebut.

Artikel itu turut melaporkan lelaki-lelaki itu sudahpun mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan haiwan tersebut daripada bersentuhan dengan haiwan peliharaan lain atau manusia disebabkan simptom yang dialami.

Di negara-negara di mana cacar monyet disifatkan sebagai endemik, hanya haiwan liar seperti tikus dan monyet ditemui membawa virus cacar monyet.

Para penulis artikel itu berkata hasil dapatan mereka harus “mencetuskan perbahasan” tentang perlunya mengasingkan haiwan peliharaan daripada individu yang diuji positif cacar monyet dan menggesa siasatan lanjut ke atas penularan lanjutan itu melalui haiwan peliharaan.

Menurut CDC, ia “tidak mustahil” jika individu yang dijangkiti cacar monyet untuk merebakkan virus itu ke haiwan melalui kontak rapat, termasuk memegang, memeluk, mencium, berkongsi tempat tidur dan berkongsi makanan.

Related posts

Leave a Comment