Anjing pula dijangkiti cacar monyet

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seekor anjing dijangkiti wabak cacar monyet di Paris selepas mendapat virus itu daripada pemiliknya.

Ia merupakan kes pertama seumpamanya dan pakar kesihatan menegaskan adalah penting untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti.

WHO juga memberi amaran tentang keperluan untuk membuang sampah dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko menjangkiti haiwan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa anjing boleh menularkan penyakit itu kepada anjing lain atau manusia.

Kes melibatkan dua lelaki homoseksual yang tinggal bersama, yang menyedari terdapat luka pada anjing baka greyhound yang dipelihara, 12 hari selepas mereka mendapat gejala.

Analisis genetik menunjukkan bahawa virus yang menjangkiti anjing itu sama dengan virus yang menjangkiti kedua-dua lelaki berkenaan

Mereka mengakui, tidur bersama dengan anjing itu.

Sementara itu, Pengarah Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Mike Ryan pula berkata, ia sesuatu yang tidak dijangka.

“Tetapi apa yang kita tidak mahu lihat berlaku ialah penyakit berpindah dari satu spesies ke spesies seterusnya dan kemudian kekal dalam spesies itu serta bergerak dalam spesies baharu.

“Kerana ketika itulah virus boleh menyesuaikan diri apabila ia diberi insentif untuk berkembang seperti itu,” katanya.

Pengarah persediaan risiko jangkitan global di WHO, Dr Sylvie Briand menambah, kes berkenaan merupakan yang pertama dan bermakna anjing boleh dijangkiti.

Bagaimanapun ia tidak bermakna anjing itu boleh menularkan penyakit berkenaan dan menjangkiti anjing lain, atau anjing itu boleh menjangkiti semula manusia jika ia dijangkiti.

Cacar monyet telah menunjukkan kebolehan untuk menjangkiti pelbagai jenis mamalia termasuk tupai, tikus, monyet dan manusia.

Cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan juga apabila seseorang menyentuh kain seperti pakaian, cadar atau tuala, yang telah digunakan individu dijangkiti virus itu

Kira-kira 35,000 kes  cacar monyet kini telah disahkan di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara dan Selatan manakala 12 kematian  dikaitkan dengan wabak itu.

Related posts

Leave a Comment