Belia muflis turun sejak 2020

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Jumlah kes muflis melibatkan belia di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2020, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan,  Ti Lian Ker.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah belia muflis pada 2020 sehingga Jun lalu adalah 10,137 orang.

Menurutnya, penurunan kes muflis bagi belia berumur bawah umur 25 tahun merekodkan 21 orang pada 2020 dan turun kepada 20 orang pada 2021, manakala hanya enam orang direkodkan sehingga Jun lalu.

“Trend penurunan jumlah belia muflis juga dapat dilihat ke atas belia berumur 25 tahun hingga 34 tahun di mana pada 2020, seramai 1,741 belia telah muflis. Jumlah ini telah turun kepada 1,060 pada 2021 dan 425 orang sehingga Jun 2022.

Situasi sama juga dapat dilihat kepada belia berumur 35 hingga 44 tahun. Pada 2020, direkodkan 3,150 orang belia muflis dan turun kepada 2,535 orang pada 2021 serta 1,179 orang sehingga Jun lalu,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan Senator Aziz Ariffin mengenai jumlah belia diisytiharkan muflis pada 2020 sehingga kini dan punca utama mereka diisytiharkan muflis, Lian Ker berkata, isu pinjaman peribadi menjadi punca utama kes muflis membabitkan golongan itu.

Katanya, seramai 1,486 orang atau 47 peratus daripada 3,165 keseluruhan kes muflis dalam kalangan belia adalah disebabkan pinjaman peribadi, diikuti 249 kes berpunca daripada sewa beli kenderaan dan 654 kes melibatkan pinjaman perniagaan.

Sejumlah 284 kes pula disebabkan pinjaman perumahan, hutang kad kredit (140), penjamin korporat (84), hutang cukai pendapatan (83), gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (65), biasiswa atau pinjaman pelajaran (7) dan keberhutangan lain (113).

Dalam perkembangan lain, Lian Ker memakluman kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun bagi tempoh sehingga Mei lalu turun sebanyak 0.3 peratus dengan belia menganggur turun sebanyak 25,500 daripada 501,200 orang pada April 2022 kepada 475,700 orang pada Mei 2022.

Related posts

Leave a Comment