Korea Utara longgar sekatan Covid-19

SEOUL: Korea Utara menarik balik pemakaian pelitup muka dan melonggarkan beberapa sekatan virus Covid-19 lain, selepas beberapa hari Kim Jong Un mengisytiharkan ‘kemenangan’ ke atas virus itu.

Menurut laporan media, sekatan virus dilonggarkan kerana ‘krisis kesihatan awam yang diwujudkan di negara itu berjaya diredakan sepenuhnya dan seluruh wilayahnya berubah menjadi bersih bebas daripada virus malignan dalam tempoh paling singkat’.

Langkah menarik balik pemakaian pelitup muka ditarik balik di semua kawasan kecuali kawasan barisan hadapan dan bandar serta daerah sempadan, memandangkan seluruh negara sudah bertukar menjadi zon bebas wabak.

Korea Utara awal minggu ini mengisytiharkan ‘kemenangan bersinar’ ke atas Covid-19, hanya beberapa bulan selepas mengumumkan kes pertamanya pada Mei lalu.

Langkah penjarakan fizikal dan langkah antivirus lain juga ditarik balik kecuali di kawasan sempadan.

Namun, mereka yang mempunyai simptom penyakit pernafasan disyorkan memakai pelitup muka dan rakyat digesa ‘kekal berwaspada’ terhadap ‘perkara tidak normal’ – didakwa merujuk kepada risalah propaganda dari selatan.

Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta kes ‘demam’ – dan hanya mengisytiharkan sebahagian kecil daripada yang terbabit dijangkiti Covid-19 – sejak akhir April, dengan hanya 74 kematian.

Pakar termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah lama mempersoalkan statistik Covid-19 Pyongyang dan dakwaan ia terkawal.

Jelas pakar, Korea Utara mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan yang paling teruk di dunia, dengan hospital yang kurang kelengkapan dan hanya ada beberapa unit rawatan rapi.

Related posts

Leave a Comment