5,481 kes baharu Covid-19 Singapura

SINGAPURA 12 Ogos – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 5,481 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,786,643 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 5,040 adalah jangkitan tempatan manakala 441 lagi ‬kes import.

Menurut MoH, sebanyak 4,881 pesakit yang terdiri daripada 4,495 kes tempatan dan 386 kes import adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 600 lagi kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 545 adalah jangkitan tempatan, manakala 55 adalah kes import.

Enam lagi dilaporkan meninggal dunia dan ini membawa kepada jumlah keseluruhan 1,552 kematian sejak pandemik melanda.

Sementara itu, sebanyak 642 pesakit masih dirawat di hospital, merosot berbanding 686 yang dicatatkan semalam di mana 55 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 24 dipantau rapi di ICU manakala 7,812 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment