Sedia pelan sekuriti makanan

SHAH ALAM 10 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kerajaan negeri menyediakan pelan jangka panjang yang lebih komprehensif mencakupi aspek sekuriti bekalan makanan khususnya untuk rakyat negeri ini.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Selangor menasihatkan keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri dan hasil tani serta produk oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Kenyataan itu susulan Keberangkatan baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda meluangkan masa lebih empat jam di pameran berkenaan termasuk mengunjungi Dewan Pameran Utama, Pavilion Negeri Selangor, Laman Agrofood Ternakan, Sayuran, Miracle Garden dan Castle of Fruits.

Dalam kenyataan itu juga baginda tidak mahu berlakunya sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan untuk rakyat di Negeri Selangor sedangkan negeri ini antara pengeluar signifikan pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.

Titah baginda, apa yang paling penting adalah produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat.

Baginda juga menyeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) agar melaksanakan kajian ke arah penghasilan produk hasil tani dan ternakan yang lebih bermutu dan memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.

Baginda turut tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan turut diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi.

Justeru baginda menggesa mereka menggiatkan aktiviti bercucuk tanam malah mengusahakan ternakan supaya dapat menikmati hasilnya untuk manfaat sendiri dan keluarga.

Related posts

Leave a Comment