Gencatan rapuh Israel – Palestin

GAZA: Israel dan pejuang Palestin memulakan gencatan senjata semalam selepas Mesir yang bertindak selaku orang tengah dalam usaha menamatkan peperangan di Gaza yang berlarutan sejak tiga hari lalu.

Gencatan senjata yang secara rasmi bermula pukul 11.30 malam (waktu tempatan), bertujuan membendung pertempuran terburuk di Gaza sejak perang 11 hari tahun lalu yang memusnahkan wilayah pesisir pantai Palestin.

Bagaimanapun kedua-dua pihak memberi amaran kepada satu sama lain bahawa akan bertindak balas dengan kekerasan terhadap sebarang keganasan.

“Keadaan masih sangat rapuh, saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata,” kata Utusan Khas Keamanan Asia Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tor Wennesland dalam satu kenyataan.

Menjelang gencatan senjata itu, serangan bertubi-tubi termasuk bedilan roket berlaku dengan siren amaran dibunyikan di selatan Israel beberapa ketika sebelum dan selepas tempoh akhir ditetapkan.

Sejak Jumaat, Israel melancarkan pengeboman udara dan tembakan artileri menyasarkan kumpulan pejuang Palestin di Gaza, dengan kumpulan pejuang itu melepaskan ratusan roket sebagai tindak balas.

Dalam pertempuran sepanjang tiga hari itu, sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 15 orang kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tiga minit selepas gencatan senjata bermula, tentera Israel berkata, sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel, tenteranya kini menyerang pelbagai sasaran milik pejuang Islam di Gaza.

Dalam kenyataan lain selepas itu, pasukan tentera Israel berkata, serangan akhirnya dilakukan pada pukul 11.25 malam.

Related posts

Leave a Comment