Wanita pertama dijangkiti cacar monyet

BANGKOK 5 Ogos – Thailand merekodkan kes keempat cacar monyet dan kali pertama melibatkan golongan wanita tempatan berusia 22 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata wanita itu mengalami simptom seperti demam dan ruam di badan pada 29 Julai.

Wanita itu dilaporkan mengunjungi  pusat hiburan yang popular dalam kalangan pelancong  di Bangkok sebelum disahkan positif wabak berkenaan dan pihak berkuasa kesihatan meningkatkan pengesanan kontak rapat.

Pesakit telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Samut Prakan pada Rabu, dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura.

Kes jangkitan cacar monyet pertama di sini melibatkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun yang tiba di Phuket pada 18 Julai. Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan keputusan ujian awal terhadapnya positif.

Dia kemudiannya dijumpai di Phnom Penh dan menerima rawatan di sebuah hospital.

Pada 29 Julai, kes kedua cacar monyet membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun di Bangkok manakala kes ketiga pada 3 Ogos, melibatkan seorang lelaki Jerman berusia 25 tahun yang melancong ke Phuket.

Related posts

Leave a Comment