Latihan China di Taiwan jejas penerbangan

LATIHAN ketenteraan China yang merangkumi hampir keseluruhan Taiwan, didakwa menjejaskan penerbangan komersial dan perjalanan antara Asia Tenggara serta Timur Laut Asia.

Menurut laporan media, beberapa syarikat membatalkan lebih 400 penerbangan ke Taipei dan mengalihkan 18 laluan penerbangan lain bagi mengelakkan ruang udara berkenaan.

Laluan berkenaan ditutup kepada penerbangan komersial susulan peningkatan aktiviti ketenteraan selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, ke Taiwan.

China mengerahkan sejumlah besar pesawat dan menembak peluru hidup berdekatan Taiwan semalam, ketika melaksanakan latihan ketenteraan terbesarnya di Selat Taiwan, yang dijadualkan berterusan sehingga tengah hari waktu tempatan Ahad ini.

Kumpulan Industri penerbangan, OPSGROUP, yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, berkata latihan ketenteraan China akan menjejaskan sebahagian besar laluan utama antara Asia Tenggara serta Timur Laut Asia dan pengalihan laluan akan membabitkan penggunaan bahan api berlebihan dan menambah masa perjalanan.

Rabu lalu, Taiwan berkata ia sedang berunding dengan negara jiran Jepun dan Filipina bagi mencari laluan alternatif.

Latihan itu juga dijangka menjejaskan Selat Taiwan, yang juga antara zon perkapalan paling sibuk dunia, sekali gus memburukkan lagi rantaian bekalan global.

Menurut penganalisis, latihan ketenteraan itu dilakukan sekitar laluan perkapalan yang sering digunakan untuk menghantar bekalan peralatan elektronik oleh kilang-kilang Asia Timur ke pasaran global selain laluan penghantaran utama gas.

Related posts

Leave a Comment