Cacar monyet darurat kesihatan di AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam berikutan wabak itu sudah menjangkiti lebih 6,600 penduduknya.

Berikutan pengisytiharan itu, Ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS, Xavier Becerra menggesa, setiap rakyat AS mengambil serius mengenai cacar monyet.

Pengisytiharan oleh HHS itu dibuat susulan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menghadapi kritikan mengenai kurangnya akses kepada vaksin cacar monyet.

Pengumuman itu bagi membenarkan pembiayaan dan sumber lain dikeluarkan bagi memerangi penyakit yang mengakibatkan gejala seperti demam, sakit badan, menggigil, keletihan dan lepuhan kulit seperti jerawat pada banyak bahagian badan.

Di kebanyakan bandar seperti New York dan San Francisco klinik mendakwa  tidak menerima vaksin dua dos yang mencukupi untuk memenuhi permintaan, selain ada klinik berhenti menawarkan dos kedua untuk memastikan bekalan dos pertama.

Sementara itu, Rumah Putih berkata, pihaknya sudah menyediakan lebih 1.1 juta dos vaksin dan ia membantu meningkatkan kapasiti diagnostik domestik kepada 80,000 ujian setiap minggu.

Virus cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit yang berpanjangan, termasuk memeluk, berpelukan dan mencium, serta berkongsi peralatan tempat tidur, tuala atau pakaian.

Pesakit yang dijangkiti setakat ini di AS adalah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, bagaimanapun pegawai kesihatan menekankan virus itu boleh menjangkiti sesiapa saja.

California, Illinois dan New York membuat pengisytiharan pada minggu lalu, begitu juga New York City, San Francisco dan San Diego County.

Related posts

Leave a Comment