Nancy Pelosi tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi diiringi delegasi kongres tiba di sini hari ini sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Pesawat khas yang membawa Pelosi dan delegasinya mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada pukul 10.30 pagi.

Ketibaan Pelosi, 82, yang mengenakan sut merah jambu disambut Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon. Turut hadir Duta AS ke Malaysia, Brian D McFeeters.

Ia adalah lawatan sulung Pelosi ke Malaysia. Turut serta dalam kunjungan itu ialah pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat, Gregory Meeks. Pelosi, pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker dewan.

Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.

Lawatan beliau menjadi tumpuan banyak pihak yang menantikan sama ada Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya.

Related posts

Leave a Comment