Biden umum AS bunuh pemimpin Al-Qaeda

WASHINGTON, DC: Presiden Joe Biden mengumumkan Amerika Syarikat (AS) sudah membunuh pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri, salah seorang yang paling diburu di dunia dan disyaki mendalangi serangan 11 September 2001.

Dalam ucapannya di televisyen, pada Isnin (1 Ogos), Biden berkata serangan di Kabul, Afghanistan itu dilancarkan pada 30 Julai (Sabtu).

“Saya memberikan kata putus untuk menyerangnya,” kata beliau, sambil menambah tiada orang awam yang cedera dalam insiden itu.

Kata Biden, keadilan sudahpun ditegakkan dan pemimpin ini sudah tiada lagi.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata Ayman terbunuh di beranda rumahnya di Kabul dalam serangan dron dan tiada askar AS dikerahkan ke Afghanistan.

Pegawai itu berkata kehadiran Ayman di ibu kota Afghanistan, Kabul adalah “pencabulan jelas” perjanjian yang ditandatangani Taliban dengan AS di Doha pada 2020, yang membuka jalan bagi pengunduran AS dari Afghanistan.

Ia adalah serangan dron pertama AS yang diketahui ke atas kubu Al-Qaeda di Afghanistan sejak tentera AS berundur dari negara itu pada 31 Ogos 2021.

Ayman, seorang pakar bedah berasal dari Mesir yang membesar dengan selesa di Kaherah sebelum menjadi radikal, diburu selama 20 tahun sejak serangan 11 September , yang menyebabkan hampir 3,000 orang maut di AS.

Dia mengambil alih kepemimpinan Al-Qaeda selepas Osama bin Laden dibunuh oleh pasukan khas AS di Pakistan pada 2011 dan diburu dengan tawaran AS$25 juta (S$34 juta).

Bersama anggota kanan Al-Qaeda yang lain, Ayman didakwa merancang serangan 12 Oktober 2000 ke atas kapal tentera laut USS Cole di Yaman yang membunuh 17 kelasi dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Dia juga didakwa di AS atas peranannya dalam insiden pengeboman Kedutaan AS di Kenya dan Tanzania pada 7 Ogos 1998 yang membunuh 224 orang dan mencederakan lebih 5,000 yang lain.

Pada hujung minggu lalu, menteri dalam negeri Afghanistan menyangkal laporan yang tersebar di media sosial tentang serangan dron di Kabul, sambil memberitahu AFP bahawa sebuah roket terkena “rumah kosong” di ibu kota itu dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Pada awal Selasa di Kabul, bagaimanapun, jurucakap Taliban Zahibullah Mujahid menulis di laman Twitter bahawa “serangan udara” dijalankan ke atas sebuah rumah di kawasan Sherpur di bandar itu.

“Butiran insiden itu tidak didedahkan pada awalnya. Agensi-agensi keselamatan dan risikan Amiriah Islam menyiasat insiden itu dan mendapati dalam siasatan awalnya bahawa serangan itu dijalankan dron-dron Amerika,” tulisnya.

Related posts

Leave a Comment