RUU Tembakau ‘selamatkan’ 2 juta jiwa

PUTRAJAYA 30 Julai – Dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian dan keilatan akibat penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh hingga 2040, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 berkuat kuasa, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Justeru RUU itu amat penting bagi aspek kesihatan awam, malah tidak banyak RUU di negara ini yang boleh menyelamatkan bilangan nyawa seramai itu.

“Oleh itu, saya merayu Ahli-ahli Parlimen agar sama-sama (bersetuju) meluluskan RUU ini yang boleh menyelamatkan dua juta rakyat Malaysia daripada kematian pramatang disebabkan aktiviti merokok.

“Selain kematian pramatang, RUU ini akan dapat banyak membantu menurunkan kes penyakit yang ada kaitan dengan merokok,” katanya pada temu bual khas dengan media mengenai RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, di sini.

Khairy berkata, beliau dijadual membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Isnin ini, dan berharap ia diluluskan selepas selesai sesi perbahasan, penggulungan serta pengundian pada keesokannya.

Rabu lalu, Khairy membentangkan RUU itu yang antara lain memperuntukkan larangan kepada Generasi Penamat (GEG) atau individu lahir pada 2007 dan seterusnya, untuk merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok, bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Khairy berkata, persetujuan untuk meluluskan RUU itu amat penting supaya penjualan produk rokok, terutama vape, dapat dikawal selia bawah akta tersendiri memandangkan tiada mekanisme perundangan bagi mengawal selia produk rokok alaf baharu itu, ketika ini.

“Ketika ini, rokok dikawal oleh Akta Makanan 1983, manakala nikotin pula dikawal selia Akta Racun 1952. Memang sekarang tiada undang-undang berkenaan tembakau yang khusus, hanya ada peraturan kawalan hasil tembakau yang ada bawah Akta Makanan.

“Justeru, RUU ini diperlukan kerana industri vape tidak terkawal dan ia berada di luar lingkungan undang-undang,” katanya sambil menambah pemain industri terbabit juga memberi sokongan agar RUU itu dikuatkuasakan.

Ditanya mengenai hukuman ditetapkan dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, beliau berkata, tiada rekod jenayah akan direkodkan terhadap golongan GEG dan mereka hanya dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Menurut RUU itu, individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok, boleh didenda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Khairy turut yakin Kementerian Kesihatan (KKM) mampu merealisasikan GEG yang bebas daripada asap rokok, termasuk mengurangkan jumlah aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok secara haram sekiranya RUU itu dikuatkuasakan.

Malah, katanya, apabila budaya bebas rokok menjadi norma masyarakat dalam kalangan individu lahir pada 2007 dan seterusnya, secara logik permintaan terhadap produk rokok akan semakin mengecil dari semasa ke semasa, sekali gus dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan rokok di negara ini.

Beliau berkata, KKM bagaimanapun akan terus bekerjasama dengan kementerian lain serta agensi keselamatan berkaitan dalam usaha membanteras aktiviti itu, terutama dalam tempoh dua tahun peralihan kepada GEG.

Related posts

Leave a Comment