Khuatir penguatkuasaan RUU tembakau

KUALA LUMPUR 30 Julai – Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) berharap badan itu diberi peluang untuk menilai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Ia berkaitan sama ada larangan, liabiliti dan penguatkuasaan RUU itu selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diratifikasi oleh Malaysia pada 1995.

Pengerusinya, Azalina Othman Said, berkata pihaknya khuatir fasal mengenai penguatkuasaan RUU itu yang mungkin terdedah kepada penyalahgunaan, memandangkan ia membabitkan golongan bawah umur termasuk kanak-kanak.

“JKPK menghargai aspirasi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mencapai generasi penamat (GEG) bagi produk tembakau demi kesihatan rakyat.

“Namun, pihak JKPK khuatir fasal-fasal mengenai penguatkuasaan RUU akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama lapan lagi Ahli Jawatankuasa JKPK termasuk Ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Jelasnya, antara kebimbangan JKPK adalah berhubung fasal 24, yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana individu untuk menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta berkenaan.

Selain itu, pihaknya turut memberi penekanan mengenai skop kuasa pegawai yang diberi kuasa menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, memberhentikan, menggeledah dan menyita dengan atau tanpa waran dan sebagainya, seperti yang diperuntukkan di bawah fasal 24, fasal 26, fasal 27, fasal 28, fasal 32 dan fasal 33.

“Pihak JKPK turut gusar kerana penguatkuasaan ini membabitkan golongan bawah umur dan pengendalian golongan ini memerlukan pegawai yang terlatih dan mempunyai sensitiviti kanak-kanak, selaras dengan norma antarabangsa.

“Fasal 54(1)(b) berkenaan kompaun kesalahan juga perlu diteliti dengan lebih mendalam atas implikasinya ke atas golongan bawah umur,” katanya.

Justeru, JKPK berharap KKM dapat merujuk RUU berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi sebelum pembentangan di Dewan Rakyat.

“JKPK turut menyokong syor nombor 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman jenayah yang dikenakan kepada kesalahan yang membabitkan remaja.

“Kami bersedia membantu KKM berkenaan RUU tersebut dari perspektif hak kanak-kanak sebelum bacaan kedua di Dewan Rakyat,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan RUU berkenaan yang menyasarkan untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok termasuk rokok dan vape bagi mereka yang lahir pada 2007 dan selepasnya.

Related posts

Leave a Comment