Beri nafas baharu Rancangan Buku Hijau

IPOH 30 Julai – Gagasan terkandung dalam Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan pada 1974 wajar dihidupkan semula untuk mengangkat sektor pertanian ketika ancaman krisis keselamatan makanan yang melanda dunia semakin meruncing.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, gagasan yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu  bertujuan mengekang kebergantungan keterlaluan terhadap bahan makanan import.

Justeru baginda menitahkan agar gagasan itu dikunjungi, disuntik nafas baharu dan dihidupkan semula.

“Rancangan Buku Hijau ialah satu gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain.

“Malangnya wawasan keselamatan makanan yang dirintis Tun Abdul Razak turut dikuburkan bersama jasad Tun Abdul Razak,” titah baginda sewaktu Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Sultan Nazrin percaya usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import ketika negara berada di ambang bahaya keselamatan bekalan makanan, termasuk melalui pengenalan langkah strategik untuk mewujudkan petani generasi baharu.

Titah baginda, langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.

“Sedarilah (bahawa) duit dalam tangan tidak bermakna jika makanan berada dalam genggaman orang lain. Kita akan kebuluran jika orang tidak mahu menjual. Era makanan murah sudah berakhir.

“Jika tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, kita akan menghadapi suasana darurat makanan dan oleh itu, perlulah difahami falsafah tersirat di sebalik konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, terma ‘hijrah’ seharusnya diperhalusi kepada berlakunya perubahan termasuk dengan mengubah pemikiran jumud kepada pemikiran baharu yang lebih dinamik untuk mencipta kejayaan dalam persekitaran baharu.

Titah baginda, ummah sewajibnya disedarkan dengan ancaman krisis keselamatan makanan yang melanda dunia ini, lantas bijak mentafsir ancaman yang sedang melanda dan pantas menyusun gerak kerja tepat.

Untuk itu, baginda menitahkan ummah mengambil teladan serta pantas menyusun gerak kerja seperti kisah Nabi Yusuf AS, yang melakukan persediaan rapi dalam menempuhi era bencana kemarau panjang mendatang yang menjejaskan penghasilan sekuriti makanan.

Mengambil iktibar petikan ayat al-Quran pada Surah Yusuf ayat 47 hingga 49, baginda bertitah ia memberi pengajaran penting yang amat relevan dalam senario global masa kini mengenai seruan berjimat, menyimpan dengan bijaksana, serta mempersiapkan diri menghadapi malapetaka.

Related posts

Leave a Comment