Solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid

KUALA LUMPUR 29 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah disambut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Khutbah khas Jumaat bertajuk ‘Segagah Khalid Al-Walid’ bersempena Hari Pahlawan Negara dan Sambutan Maal Hijrah 1444 disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai.

Mohd Rashidi dalam khutbahnya menyebut, Khalid al-Walid al-Mughirah sangat dikenali dengan taktik dan strategi ketenteraannya sehingga beliau antara panglima perang yang tidak pernah kalah sepanjang kariernya.

Menurut Mohd Rashidi, kepahlawanan adalah sifat terpuji bertepatan dengan matlamat menjaga agama, maruah, bangsa dan negara.

Justeru, beliau berkata, perjuangan pahlawan negara terdiri daripada tentera, polis dan lain-lain, yang juga didukung ulama dalam membebaskan agama, bangsa dan tanah air daripada dijajah mesti dihargai dan disyukuri.

“Keberanian, kesetiaan, dan keikhlasan Khalid Al-Walid patut menjadi contoh dalam menerapkan semangat kepahlawanan dalam diri.

“Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang tercatat dalam peristiwa hijrah adalah teladan dan pengajaran yang baik untuk kita membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang memangkin kemakmuran negara,” katanya.

Selain itu, Mohd Rashidi berkata, hijrah dalam konteks hari ini ialah berusaha mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain, serta bertanggungjawab memastikan hubungan sesama masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Related posts

Leave a Comment