Dua lagi kes cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 25 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) mengesahkan dua lagi kes jangkitan cacar monyet di Singapura, sekali gus membawa jumlah jangkitan di negara ini kepada lapan orang.

Menurut kemas kini MoH di lamannya semalam, kedua-dua kes baharu itu tidak ada kaitan dengan jangkitan cacar monyet sebelum ini.

Salah satu daripadanya ialah kes import yang melibatkan lelaki Estonia berusia 46 tahun yang tiba di Singapura dari London pada 21 Julai dan diuji positif pada 24 Julai.

Beliau mengalami ruam, demam dan kelenjar yang bengkak, dan mendapatkan jagaan perubatan pada 23 Julai, kemudian dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada hari yang sama.

Kes kedua melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 26 tahun yang diuji positif bagi cacar monyet pada 24 Julai di mana beliau mengalami ruam dan mendapatkan jagaan perubatan, kemudian dimasukkan ke NCID pada hari yang sama.

Kedua-dua kes dalam keadaan stabil dan usaha mengesan kontak sedang dijalankan.

Daripada lapan kes cacar monyet yang diumumkan di Singapura sejak Jun, empat adalah kes import dan empat lagi adalah kes tempatan. Semua kes tiada kaitan antara satu sama lain sejauh ini.

Related posts

Leave a Comment