Pas tadbir negeri hingga tamat penggal

BUKIT GANTANG 26 Julai – Pas akan terus mentadbir Kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga tamat tempoh pada pertengahan tahun depan dan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal.

Naib Presidennya, Idris Ahmad, berkata DUN di negeri yang ditadbir parti itu tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum (PRU) jika Kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen lebih awal.

“Tiga buah negeri yang kita perintah tidak akan dibubarkan DUN, walaupun berlakunya pembubaran Parlimen peringkat kerajaan Pusat dalam masa terdekat,,” katanya dalam sidang media pada Program Jualan Bantu Rakyat di sini hari ini.

Idris berkata, belum ada perbincangan Jemaah Menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen dan Kabinet tidak pernah pun menyebut tentang PRU Ke-15.

Katanya, kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri.

Mengenai persiapan Pas untuk PRU Ke-15, Idris berkara, parti itu sudah bersedia sepenuhnya di mana jentera Pas di seluruh negara telahpun meningkatkan gerak kerja mereka.

“Kita hanya menanti tiupan wisel peringkat Pusat untuk masuk ke dalam gelanggang PRU Ke-15, sekiranya benar akan berlakunya pembubaran pada masa yang terdekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment