66 % bekas pesakit alami Long Covid

JAKARTA 18 Julai – Kira-kira 66 peratus bekas pesakit Covid-19 yang terselamat di Indonesia mengalami simptom berterusan atau ‘Long Covid’ berbanding anggaran kadar kelaziman global sebanyak 43 peratus.

Satu kajian membabitkan 385 responden, dijalankan pada Januari tahun lalu dan diterbitkan dalam jurnal penyakit berjangkit, GERMS, yang melibatkan kumpulan pakar berkaitan penyakit itu.

Kajian dilakukan sejurus selepas negara mengalami gelombang pertama jangkitan Covid-19 yang didorong oleh penyebaran varian Alpha.

Gejala paling biasa dilaporkan oleh mangsa yang terselamat, menurut penyelidikan, adalah keletihan yang berpanjangan (29 peratus, batuk (15 peratus) dan sakit otot (11 peratus).

Sesetengah pesakit juga mengalami sesak nafas, sakit kepala, sakit sendi, jantung berdebar-debar, gangguan tidur dan hilang tumpuan.

Gejala-gejala ini berlarutan sehingga tiga bulan selepas pesakit diuji negatif untuk virus itu, yang dilihat menjejaskan kualiti hidup mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada pesakit Long Covid dilaporkan mengalami kebimbangan atau kemurungan dan sekitar satu perempat mengalami kesakitan dan ketidakselesaan.

Kajian itu mendapati bahawa risiko Long Covid adalah jauh lebih besar pada pesakit dengan masalah kesihatan yang sedia ada dan mereka mengalami gejala lebih teruk terutama radang paru-paru.

Usia tua, status pemakanan, jenis penjagaan dan keperluan untuk terapi oksigen juga dikaitkan dengan risiko lebih besar simptom Covid-19 yang berterusan.

Sementara itu kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bagi mereka yang tidak mempunyai komorbiditi atau pesakit yang hanya mengalami simptom Covid-19 ringan, risiko mendapat Long Covid meningkat setiap kali mereka dijangkiti Covid-19.

Kajian diterbitkan awal bulan ini yang masih menunggu semakan pakar, mendedahkan bahawa setiap pusingan jangkitan semula Covid-19 meningkatkan risiko pesakit mengalami gejala yang lebih teruk dan Long Covid, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Penyelidikan itu menganalisis data daripada 257,427 peserta di AS yang dijangkiti Covid-19 hanya sekali dan 38,926 peserta dengan dua atau lebih jangkitan semula SARS-CoV-2.

Related posts

Leave a Comment