Marah, serius, sindiran, jenaka

MEMANG masanya sudah tiba bagi Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada semua ahli berkaitan kerjasama parti itu dengan saingan politiknya.

Seperti kata Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan, konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sebenarnya Zahid sendiri sedar apa yang berlaku sebelum ini tetapi disebabkan ‘kuasa autonomi’ terletak kepada Perhubungan UMNO Sabah, maka Zahid hormat pendirian itu tetapi hakikatnya ramai yang ‘terluka’ dengan tindak tanduk parti sebelah sana, Bersatu.

Mungkin disebabkan ‘tidak pandai’ menjaga hati dan perasaan disebabkan ‘kemenangan’ yang memihak kepada mereka, maka ada saja kenyataan atau keputusan yang dikeluarkan telah mengguris hati dan perasaan orang UMNO.

Sebelum itu pun, ramai juga dalam kalangan anggota UMNO yang tidak senang dengan kenyataan Zahid bahawa beliau tidak dapat menghalang ahli Parlimen UMNO yang mahu menyokong Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan.

Akhirnya akar umbi walaupun tidak semua, menuding jari kepada Zahid dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ‘kelemahan’ pemimpin walaupun tidak semua pemimpin ‘lemah’. Lihat saja bagaimana UMNO digambarkan sebagai lemah dan tidak dihormati. Yang serius menjadi jenaka untuk menggambarkan kekecewaan itu.

Justeru apakah yang harus dilakukan khususnya oleh Zahid?

Mohd Hasan dalam kenyataannya berkata, keputusan PRN Sabah menunjukkan strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan malah semakin memencilkan peranannya di negeri itu.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya.

“Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Tambah beliau, pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatannya dan tidak boleh membiarkan PRN Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

“Menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui ‘Langkah Sheraton’ adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir.

“Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui Barisan Nasional dan bukannya platform politik lain.

“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.

Tegasnya, jika terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, putuskan sedemikian dengan segera agar persediaan dapat dibuat.

“Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan UMNO ke landasan sebenarnya. Kusut di hujung, balik lah ke pangkal.

“Marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan didukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment