Rajapaksa lari ke Maldives

COLOMBO 13 Julai – Presiden Sri Lanka berjaya melarikan diri  ke Maldives pada awal pagi ini (Rabu) dengan menggunakan pesawat tentera, menjelang peletakan jawatannya hari ini.

Gotabaya Rajapaksa berjanji pada hujung minggu lalu untuk meletakkan jawatan pada Rabu selepas berbulan-bulan berlaku bantahan meluas terhadap krisis ekonomi terburuk yang pernah berlaku di negara tersebut.

Langkah peletakan jawatan itu membuka jalan bagi “peralihan kuasa secara aman” selepas meninggalkan kediaman rasminya di Colombo sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu istana presiden.

Sebagai presiden, Rajapaksa mempunyai imuniti daripada sebarang tangkapan, dan beliau dipercayai ingin ke luar negara sebelum mengundurkan diri bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Rajapaksa  berjaya meninggalkan Sri Lanka bersama isteri dan seorang pengawal peribadinya dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama Sri Lanka.

Di Maldives mereka dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.

Beliau sebelum itu ingin ke Dubai menggunakan penerbangan komersil, tetapi kakitangan di lapangan terbang Bandaranaike menolak rombongannya daripada masuk ke ruang VIP sebaliknya perlu melalui kaunter awam.

Namun, mereka enggan melalui saluran biasa kerana bimbang reaksi orang ramai, menyebabkan terlepas empat penerbangan  ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin.

Related posts

Leave a Comment