Haji : Kejayaan besar pengendalian haji

MINA: Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal, yang juga Penasihat kepada Penjaga Dua Masjid Suci mengumumkan bahawa musim Haji tahun ini merupakan kejayaan yang besar. 

Menurut laporan Saudi Gazette, kejayaan itu pada semua peringkat keselamatan, khidmat dan kesihatan, tanpa melaporkan sebarang kejadian atau penyakit epidemik dalam kalangan jemaah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk memastikan musim Haji tahun ini berjalan dengan lancar. 

“Bagi pihak semua pegawai yang menyediakan khidmat kepada jemaah, saya mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman bagi kejayaan perhimpunan besar-besaran umat Islam ini,” katanya dalam satu kenyataan dinukil Saudi Press Agency. 

Kenyataan Gabenor Makkah itu dikeluarkan ketika sebahagian besar jemaah mula melakukan Tawaf Al-Wida sebelum meninggalkan Makkah pada Isnin malam (11 Jul) selepas menyempurnakan ibadah Haji. 

Putera Khaled Al-Faisal yang juga pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji turut melahirkan rasa syukur atas usaha dan projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Saudi, serta pegawai-pegawai yang menyediakan khidmat kepada jemaah agar mereka dapat mendirikan ibadah dengan mudah dan selesa. 

Kejayaan itu katanya hasil usaha kerajaan Saudi serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam menyediakan khidmat bagi jemaah Haji. 

Related posts

Leave a Comment