Ditahan gara-gara senjata di pakaian

JOHOR BAHRU 10 Julai – Gara-gara membawa senjata berbahaya sebagai hiasan pakaian, seorang warga asing ditahan polis ketika hadir menunaikan solat sunat Aidiladha, di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, pagi ini.

Warga asing berusia 57 tahun itu ditahan selepas suspek hadir dengan sebilah pisau bersarung berukuran lebih kurang 33 sentimeter termasuk hulu terselit pada tali pinggangnya.

Perbuatan itu dikesan sepasukan anggota yang mengadakan kawalan keselamatan di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan penahanan lelaki warga asing itu.

“Hasil siasatan, polis mendapati senjata yang dirampas itu adalah sebahagian daripada hiasan pemakaian perayaan di negara asal warga asing berkenaan.

Bagaimanapun dari segi undang-undang di Malaysia, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam satu kenyataan.

Related posts

Leave a Comment