Kemuncak kes menjelang September

BANGKOK 10 Julai – Jumlah kes Covid-19 di Thailand dijangka mencatatkan peningkatan mulai minggu depan dan akan mencapai kemuncak menjelang September, kata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA).

Jurucakap CCSA, Dr Taweesilp Visanuyothin, berkata kemungkinan lonjakan itu disebabkan pelonggaran langkah kawalan penyakit, termasuk menarik balik mandat pemakaian pelitup muka di beberapa tempat awam.

CCSA bagaimanapun menjangkakan dengan vaksinasi berterusan dan jika orang ramai mematuhi saranan untuk mengelakkan kawasan sesak dan perhimpunan awam, jangkitan harian mungkin berkurangan mulai November.

Justeru CCSA menggesa Kementerian Kesihatan menilai keadaan semasa bagi memastikan kemasukan ke hospital, penggunaan katil dan kematian dikekalkan pada tahap yang boleh diurus.

Ini bermakna, kemasukan mestilah tidak melebihi 4,000 pesakit, kurang 25 peratus daripada katil hospital diduduki oleh pesakit dalam keadaan serius dan kiraan kematian harian dikekalkan kurang daripada 40.

Orang ramai digalakkan untuk terus memakai pelitup muka di tempat yang sesak atau kawasan pengudaraan kurang baik, manakala pengendali tempat berisiko tinggi seperti tapak hiburan digesa menggunakan langkah kawalan penyakit yang ketat

Selain itu, individu yang berumur lebih 60 tahun, terutama yang berisiko tinggi, harus mendapat suntikan dos penggalak di mana setakat ini, hanya 47.1 peratus atau 5.98 juta daripada 12.7 juta orang dalam kumpulan ini menerima dos penggalak

Related posts

Leave a Comment