Kes keempat cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 8 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan satu lagi kes import cacar monyet di Singapura, yang membawa kepada empat kes disahkan sejak Jun.

Pesakit warga India berusia 30 tahun yang tinggal di Singapura itu baru-baru ini pulang dari Jerman.

Lelaki itu mengalami ruam di kawasan pangkal paha pada 30 Jun dan demam seminggu kemudian pada 7 Julai.

Dia mendapatkan jagaan perubatan dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 7 Julai dan diuji positif bagi cacar monyet pada 8 Julai.

Pengesanan kontak sedang dijalankan.

Lelaki itu kini dimasukkan ke NCID dan keadannya stabil. Kesnya tidak ada kaitan dengan kes-kes cacar monyet sebelum ini.

Jangkitan terbaru itu membawa jumlah keseluruhan bagi kes cacar monyet di Singapura sejak Jun kepada empat. Tiga daripadanya adalah kes import dan satu adalah jangkitan tempatan.

Kes pertama cacar monyet di Singapura tahun ini adalah kes import. Pesakit warga Britain berusia 42 itu bertugas sebagai pramugara. Dia diuji positif pada 20 Jun.

Negara ini melaporkan kes jangkitan tempatannya yang pertama pada Rabu, melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang bekerja di Singapura.

Satu lagi kes import disahkan pada Khamis, iaitu seorang warga India berusia 36 tahun yang tinggal di Singapura dan baru-baru ini pulang dari Amerika Syarikat.

Menurut MoH, semua kes itu tidak ada kaitan antara satu sama lain.

Related posts

Leave a Comment