Kluster baharu cetus kebimbangan China

BEIJING: Kluster baharu Covid-19 mencetuskan kebimbangan perintah sekatan menyeluruh akan kembali dilaksanakan di seluruh China.

Pihak berkuasa kesihatan China melaporkan lebih 300 jangkitan hari ini, dengan kluster dikesan di bandar bersejarah Xi’an serta bandar terbesar China, Shanghai.

Puluhan juta penduduk di China dikenakan perintah berkurung hari ini, dengan perniagaan di bandar tarikan pelancong utama terpaksa berhenti beroperasi.

Xi’an yang didiami 13 juta penduduk kembali dikenakan ‘langkah sekatan sementara’ selepas 29 jangkitan direkodkan sejak Sabtu lalu, dengan majoritinya dalam kalangan pekerja kitar semula.

Pusat hiburan awam termasuk pub, kafe internet dan bar karaoke turut diarah tutup bermula tengah malam hari ini, kata pihak berkuasa Xi’an dalam satu notis.

Media negara itu menunjukkan gambar penduduk Xi’an beratur untuk menjalani saringan selepas tengah malam tadi, namun menegaskan bandar itu tidak dikenakan perintah berkurung.

Pihak berkuasa berpandangan penularan di bandar itu berpunca daripada subvarian BA.5.2 yang berasal daripada varian Omicron, yang lebih mudah berjangkit dan kuat.

“Semua kes positif adalah membabitkan BA.5.2 daripada varian Omicron, dan pengesanan epidemiologi masih dijalankan,” kata pegawai kesihatan Xi’an,

Sementara itu Bandar Shanghai mengumumkan dua pusingan baharu ujian Covid-19 besar-besaran terhadap kebanyakan 25 juta penduduknya dalam tempoh tiga hari susulan laporan jangkitan di pusat karaoke minggu lalu.

Pentadbiran bandar tersebut memaklumkan, kesemua penduduk di sembilan daripada 16 daerah di bandar itu perlu melakukan ujian saringan dua kali iaitu pada Selasa dan Khamis.

Penduduk di tiga lagi daerah juga perlu melakukan ujian saringan.

Ketika arahan tersebut dikuatkuasakan, penduduk di daerah terkesan perlu membuktikan keputusan ujian mereka dalam masa dua hari untuk keluar dari rumah.

Related posts

Leave a Comment