Gejala berbeza cacar monyet

PESAKIT cacar monyet di United Kingdom dikesan mempunyai gejala berbeza daripada yang dilihat sebelum ini, demikian menurut penyelidik di London.

Gejala itu termasuk  kurang mengalami demam dan keletihan tetapi lebih banyak luka kulit di kawasan alat sulit, berbanding kes biasa dilihat pada cacar monyet.

Dapatan itu berdasarkan kajian terhadap 54 pesakit di klinik-klinik kesihatan seksual di London pada Mei tahun ini.

Lebih 5,000 kes cacar monyet dikesan di negara bukan endemik, terutamanya Eropah, sejak awal Mei.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes juga dilihat meningkat di negara ia kerap merebak.

Pakar dari Chelsea dan Westminster Hospital berkata, definisi kes harus dikaji semula bagi mengelakkan kes terlepas pandang.

Ini kerana gejala cacar monyet boleh menyerupai jangkitan seksual seperti herpes dan sifilis.

Kajian itu juga mendapati satu per empat daripada pesakit cacar monyet positif HIV dan satu per empat lagi mempunyai penyakit seksual.

Related posts

Leave a Comment