Hanya satu kem UMNO

KUALA LUMPUR 2 Julai – “Kem (dalam UMNO)? Mana ada kem. Hanya satu kem dalam UMNO,” . Itu penjelasan Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob.
Kenyataan itu berikutan ada pihak berpendapat pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman mengenai isu dalaman UMNO memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem.
Satu daripada kem itu dikatakan menyokong Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, Ismail Sabri hari ini menafikan dakwaan wujud dua kem dalam kepemimpinan parti berkenaan dan menegaskan hanya ada satu kumpulan yang menerajui kepemimpinan UMNO.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke-42 di Auditorium Balai Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM), di sini.
Mengenai cadangan supaya beliau menjadi orang tengah mendamaikan pertelingkahan di antara Ahmad Zahid dan Tajuddin, Ismail Sabri menjelaskan, tidak timbul isu sedemikian untuk diperdebatkan.
Mengenai desakan pihak tertentu supaya pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dibatalkan, Perdana Menteri menegaskan, ia dilihat sebagai cubaan mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana, katanya, cadangan melantik Ahli Parlimen Pasir Salak itu ke jawatan berkenaan sudah pun mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Itu (pelantikan Tajuddin) sudah pun diluluskan oleh Kabinet, sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sudah pun mendapat perkenan.
“Sepatutnya sudah serahkan watikah tempoh hari, tetapi Yang di-Pertuan Agong gering waktu nak diserahkan dan saya percaya akan diserahkan watikah itu.
“Janganlah kita persoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong pula. Agong dah perkenan, kita pula nak tarik balik, nak desak Agong la tu, maknanya mendesak Yang di-Pertuan Agong kerana baginda yang memberi perkenan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment