Kempen 5 hari buka peluang vaksin

PETALING JAYA 21 Jun – Seramai 397 kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dibuka sejak semalam.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kempen selama lima hari sehingga 24 Jun ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mendapatkan vaksin bagi anak mereka berusia lima tahun ke atas.

“Untuk PICKids kita telah mulakan satu kempen khusus, dibuka semula PICKids bagi tempoh lima hari dari 20 hingga 24 Jun sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan.

Walaupun kita umumkan PICKids telah tamat 31 Mei lalu untuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas, namun, kita dapati ada ibu bapa minta agar diberikan ruang semula untuk berikan anak mereka (vaksin Covid-19),” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah Khairy, angka itu dijangka meningkat sepanjang tempoh kempen khusus PICKids berlangsung.

“Setakat ini 397 telah disuntik pada hari pertama iaitu semalam dan 150 daripada kanak-kanak berkenaan baru sahaja mencapai usia 5 tahun,” jelas Khairy lagi.

Menurut info dari laman sesawang COVIDNOW, seramai 1.72 juta atau 48.4 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di negara ini telah menerima sekurang kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara 1.171 juta lagi bersamaan 33.0 peratus telah melengkapkan dos kedua dalam program PICKids sebelum ini yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Related posts

Leave a Comment