Peluang PICKids di kawasan terpencil

BAGAN SERAI 18 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mempertimbangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara percuma di kawasan terpencil atau kawasan yang tiada liputan komunikasi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sebagai contoh di pedalaman Sabah dan Sarawak yang ramai tinggal di kawasan yang langsung tiada liputan komunikasi dan ketika mereka keluar menyertai PICKids, program itu tamat.

Untuk kes sebegini, jawatankuasa kampung boleh mengumpulkan maklumat kanak-kanak yang ingin divaksin dan seterusnya boleh memaklumkan atau berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi mendapatkan program tersebut.

Seterusnya Pengarah JKN akan membuat keputusan dan akan memberi tarikh dan masa bagi program itu.

KKM sebelum ini dilapor akan melaksanakan PICKids secara percuma untuk tempoh lima hari bermula 20 hingga 24 Jun ini sempena minggu Imunisasi Kebangsaan.

Sepanjang tempoh itu, semua klinik kesihatan di seluruh negara akan memberikan suntikan vaksin percuma kepada kanak-kanak yang terlepas PICKids yang lalu.

Noor Azmi berkata, KKM membuka peluang itu selama lima hari untuk ibu bapa yang baharu membuat keputusan untuk mendapatkan vaksinasi kepada anak-anak mereka supaya melakukannya dengan segera.

“Kita tahu ada ibu bapa yang sebelum ini mengambil keputusan ‘tunggu dan lihat’, jadi inilah peluang supaya mereka melakukannya sepanjang tempoh lima hari,” katanya.

KKM katanya tidak meneruskan program itu sehingga hujung tahun ini setelah memberi peluang kepada ibu bapa dengan menunda tarikh tamat program itu daripada 15 kepada 31 Mei lalu, tetapi masih ramai tidak datang.

“Apabila orang tak datang, masa kita agak terbuang. Dalam masa sama, kita kena fokus juga kepada penyakit yang berjangkit dan tidak berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan denggi yang kian meningkat,” katanya.

KKM bimbang terhadap kanak-kanak yang tidak divaksin apabila kes meningkat naik atau ada varian-varian baharu.

Related posts

Leave a Comment