108 gagal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seramai 289 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Rabu.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 277 individu dikompaun manakala 11 lagi direman selain seorang dibebaskan dengan jaminan polis.

Antara kesalahan dikesan termasuk 108 tidak memakai pelitup muka, 59 gagal mematuhi penjarakan fizikal, 51 gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan dan 38 kes rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

Mengenai Op Benteng, katanya pihak berkuasa menahan seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sembilan kenderaan yang cuba memasuki sempadan negara.

Katanya, kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara termasuk mereka yang cuba menggunakan lorong-lorong tikus.

Mengenai kuarantin wajib, seramai 70,939 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di pusat kuarantin.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 10,498 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 404 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Related posts

Leave a Comment