Perubahan hasil pemilihan PKR positif

KUALA LUMPUR 12 Jun – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menyifatkan arus perubahan yang dilihat dalam pemilihan parti itu sebagai perkara yang positif.

Beliau sudah menghubungi bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilaporkan memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, berdasarkan keputusan tidak rasmi.

“Saya maklumkan akan buat kenyataan rasmi setelah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) membuat pengumuman rasmi (keputusan pemilihan).

“Saya dinasihatkan jangan buat apa-apa kenyataan yang menyinggung pemilihan buat masa ini. Tetapi, saya rasa pemilihan dan semangat perubahan itu sesuatu yang positif bagi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun karya Sasterawan Negara,  A Samad Said di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Anwar diminta mengulas keputusan Pemilihan PKR, dengan keputusan tidak rasmi menyaksikan Rafizi berjaya memenangi jawatan nombor dua parti dengan menumpaskan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Saingan jawatan Naib Presiden PKR pula dimenangi Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

JPP menangguhkan pengumuman keputusan pemilihan itu berikutan wujud pelbagai bantahan dan aduan, antaranya membabitkan dakwaan kewujudan pengundi ragu, kesahihan undi dan masalah logistik.

Susulan dakwaan itu, PKR memaklumkan Kongres Nasional 2022 yang asalnya dijadualkan pada 24 dan 25 Jun ini, ditangguhkan kepada 15 hingga 17 Julai depan bagi memberi ruang audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti, dijalankan.

Sejak keputusan tidak rasmi itu diterbitkan di portal rasmi Pemilihan PKR, Anwar masih belum membuat sebarang kenyataan mengenainya, terutama membabitkan kemenangan Rafizi.

Related posts

Leave a Comment