Lebih 1.3 juta kunjungi PBAKL 2022

KUALA LUMPUR 12 Jun – Jumlah kehadiran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 Ke-39 melepasi sasaran penganjur, apabila lebih 1.3 juta pengunjung direkodkan sepanjang 10 hari ia berlangsung.

Menurut Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, p sejumlah 1,363,757 pengunjung direkodkan menghadiri PBAKL sejak 3 Jun lalu sehingga pukul 4 petang ini.

Jumlah itu jauh melepasi sasaran awal penganjur yang sebelum ini menjangkakan kehadiran sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, katanya, pesta buku terbesar di Malaysia itu turut mendapat sambutan hangat di media sosial apabila tanda pagar #pbakl2022 di TikTok merekodkan lebih 13.6 juta tontonan setakat pukul 6 petang ini.

“Kebiasaannya, PBAKL dianjurkan ketika minggu persekolahan. Selepas dua kali ditangguhkan, PBAKL 2022 memilih tarikh 3 hingga 12 Jun, iaitu ketika cuti persekolahan yang terbukti berjaya membawa pembeli berkualiti.

“Rata-rata pempamer menyatakan jualan PBAKL kali ke-39 adalah yang terbaik sejak penganjurannya,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Penutup PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mohd Khair yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 berkata, acara itu turut menyaksikan peranan usahawan buku dalam kalangan penggerak industri muda yang membawa segmen pembeli baharu.

Katanya, rata-rata usahawan baharu itu memiliki ratusan, ribuan dan jutaan pengikut dan tontonan di media sosial, sekali gus mencetus keterujaan terhadap buku dalam kalangan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment