Singapura catat 2,503 kes baharu

SINGAPURA 12 Jun – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 2,503 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini yang terdiri daripada 2,349 jangkitan tempatan dan 154 kes import.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak 1,341,256 manakala jumlah kematian kekal 1,397 selepas tiada kes baharu dilaporkan.

Sebanyak 2,255 kes baharu Protokol 2 direkodkan iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Daripada jumlah itu, 2,113 adalah kes tempatan dan 142 kes import manakala 248‬ kes lagi disahkan menerusi ujian PCR yang melibatkan 236 jangkitan tempatan, dan 12 kes import.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 0.96, naik sedikit berbanding 0.93 semalam. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar di bawah 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin merosot.

Sementara itu, seramai 240 pesakit masih dirawat di hospital, naik berbanding 233 semalam di mana 25 orang memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, satu dipantau rapi di ICU manakala 3,349 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Bagi program vaksinasi pula, setakat semalam, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah  divaksin di bawah program vaksinasi nasional di mana 93 peratus menerima satu dos, 92 peratus lengkap dua dos dan 77 peratus disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment