69 kes baharu, satu kematian

PUTRAJAYA: KES baharu positif Covid-19 kekal pada dua angka dengan 69 kes baharu yang 12 melibatkan kes import manakala 57 lagi merupakan kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat pukul 12 tengah hari ini, 1 Mei jumlah kumulatif kes dalam negara adalah 6,071 kes.

Menurutnya, sebanyak 39 kes telah pulih dan dibenarkan pulang dengan jumlah kumulatif sembuh  4,210 kes iaitu 69.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 14 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat satu kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 103 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kematian itu melibatkan kes 5541, iaitu seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 66 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit barah.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-4818). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 14 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 pukul 4.00 petang.

Related posts

Leave a Comment