643 kes cacar monyet di 26 negara

ZURICH: Sekurang-kurangnya 643 kes cacar monyet telah direkodkan di 26 negara sehingga awal Jun, kata Ketua Penularan Penyakit dan Zoonosis, Program Kesihatan Kecemasan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Maria Van Kerkhove.

Beliau berkata sejak 13 Mei hingga 1 Jun, jumlah jangkitan keseluruhan mencecah 643 hingga 650, dengan pelbagai kes yang disyaki telah dikenal pasti.

Kadar jangkitan tertinggi direkodkan di United Kingdom dengan 190 kes, Sepanyol (142), Portugal (119) manakala Jerman (44)

Ahli epidemiologi pada masa ini perlu menilai risiko penularan cacar monyet di seluruh dunia, memeriksa genom virus dan mengesan kemungkinan mutasi, katanya.

Beratus-ratus kes cacar monyet telah direkodkan di negara Eropah, Australia, dan Amerika Syarikat sejak awal Mei.

Pegawai perubatan masih gagal mengenal pasti bagaimana ia merebak memandangkan wabak itu adalah endemik di negara-negara Afrika dan majoriti individu dijangkiti tidak mempunyai sebarang kaitan dengan orang Afrika mahupun berkunjung ke sana.

Sementara itu tiga bandar di Amerika Syarikat iaitu Los Angeles, Chicago dan Philadelphia merekodkan kes pertama disyaki cacar monyet.

Semua sampel sudah dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk pengesahan.

Menurut laporan media, kes di Los Angeles berpunca daripada seorang penduduk yang baru-baru ini mengembara dan mempunyai kontak rapat dengan satu kes.

Pesakit itu mengalami gejala dan kini dikuarantin.

Agensi kesihatan Chicago pula memaklumkan satu kes disyaki cacar monyet dikesan pada seorang individu yang baru pulang dari Eropah.

Philadelphia pula enggan mendedahkan maklumat mengenai pesakit “bagi melindungi privasi rakyatnya,” tetapi individu itu “sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk mengenal pasti kontak rapat.”

CDC sebelum ini mengesahkan sebanyak 21 kes cacar monyet telah dikesan di 11 negeri, termasuk empat di California dan New York di mana

kes tertinggi membabitkan golongan gay, dan biseksual.

Related posts

Leave a Comment