Singapura bersiap hadapi gelombang baharu

SINGAPURA 2 Jun – Semua persekitaran jagaan kesihatan akan dipastikan bersiap sedia bagi mengharungi gelombang seterusnya Covid-19 yang dijangka melanda Singapura “dalam masa beberapa bulan akan datang”.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, kapasiti katil akan dipertingkatkan di samping meningkatkan kadar vaksinasi dos penggalak dalam kalangan warga emas.

Dalam satu seminar pelan kerja kementeriannya, beliau menarik perhatian kepada Afrika Selatan yang kini dilanda penularan kelima Covid-19 yang disebabkan oleh dua jujukan varian Omicron, BA.4 dan BA.5.

Singapura melaporkan tiga kes pertama jujukan varian tersebut pada 15 Mei.

Katanya, walaupun Singapura sudah menetapkan langkah-langkah keselamatan, negara ini tidak akan berpeluk tubuh.

“Kami merasakan BA.4 dan BA.5, ini adalah gelombang yang boleh kita harungi. Tetapi jangan leka, kita mesti bersiap sedia menghadapinya,” katanya.

Berucap di hadapan penonton yang terdiri daripada para pekerja jagaan kesihatan, beliau turut menggariskan strategi-strategi yang disifatkan sebagai “persiapan terbaik”.

Antara lain, ia termasuk memastikan persekitaran jagaan kesihatan seperti rumah jagaan, hospital masyarakat dan hospital swasta dapat menangani jangkitan-jangkitan COVID-19.

Beliau juga berkata Singapura harus menyediakan lebih banyak katil sekiranya tekanan mula memuncak sekali lagi di hospital-hospital.

Selain mengasingkan diri di rumah, katil-katil itu juga boleh diperoleh daripada kemudahan-kemudahan rawatan Covid-19 yang direka untuk menampung pesakit-pesakit virus itu.

Rumah-rumah jagaan juga boleh menyediakan katil-katil tersebut kerana ramai pesakit hospital jangka panjang “sebenarnya sedang menunggu giliran bagi tempat di rumah jagaan”,.

Ong juga menekankan pentingnya dos penggalak dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas, yang mana 88 peratus daripada mereka sudahpun mendapatkan suntikan dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment