WHO : Khairy dilantik lagi

PUTRAJAYA 30 Mei – Selepas diberi penghormatan sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini dipilih sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif Ke-151 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebulat suara melantik Khairy bagi mewakili rantau Asia Pasifik.

Pengumuman pelantikan yang bermula tahun ini sehingga tahun depan itu dibuat di Geneva hari ini.

Pelantikan berkenaan adalah berdasarkan prinsip giliran antara rantau geografi, dengan Malaysia ketika ini adalah ahli Lembaga Eksekutif WHO sejak tahun lalu sehingga 2024.

Khairy menyifatkan pelantikan itu sebagai penghormatan buat negara dan  berjanji akan menggunakan kedudukannya dalam WHO dan WHA untuk membawa suara Malaysia ke pentas kesihatan dunia.

“Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membawa suara Malaysia ke pentas kesihatan dunia,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelantikan itu adalah julung kali buat Malaysia dan disifatkan sebagai satu penghormatan untuk negara.

Pelantikan Khairy itu dilihat sebagai peluang untuk Malaysia melaksanakan perkara yang tepat untuk rakyat dan komuniti tempatan dan global, ketika krisis melanda dunia.

“Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha memajukan kesihatan awam global.

“Di samping kepimpinan yang kukuh dalam pembedahan yang selamat dan kos berpatutan, Malaysia akan menyumbang pada kejayaan dalam usaha WHO mengetuai komuniti antarabangsa dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuklah dalam bidang tindak balas Covid-19, inovasi digital kesihatan, penuaan sihat dan aktif, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan perubahan iklim,” katanya dalam ucapan tahniah menerusi Facebook.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia akan menggunakan kedua-dua kawatan itu  untuk memperjuangkan isu penting bersama yang dihadapi di rantau ini serta komuniti global.

“Sebagai solidariti, kami akan membangkitkan isu semasa seperti Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), ketaksaksamaan vaksin, sistem kesihatan dan semua yang berkait dengan kesiapsiagaan dan tindak balas kesihatan awam global untuk memenangi pertempuran kesihatan awam bersama-sama,” katanya.

Lembaga Eksekutif WHO dianggotai 34 anggota teknikal berkelayakan yang dipilih untuk berkhidmat selama tiga tahun, dengan fungsi utama untuk melaksanakan keputusan dan dasar yang dicapai dalam WHA, serta menasihat dan memudahkan tugas berkaitan.

Selain Malaysia, beberapa negara lain yang menganggotai Lembaga Eksekutif WHO ketika ini termasuklah Korea Selatan, Jepun, China, United Kingdom, Russia, Perancis, Denmark, India, Amerika Syarikat, Kanada dan Brazil.

Related posts

Leave a Comment